วันจันทร์ที่ 19 มกราคม พ.ศ. 2558

Umno Kelantan minta pusat percepat bina rumah

Umno Kelantan minta pusat percepat bina rumah


Umno Kelantan akan meminta kerajaan pusat mempercepatkan pembinaan rumah kekal kepada mangsa yang hilang kediaman akibat banjir di negeri ini bulan lepas.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata setakat ini jumlah rumah yang musnah sepenuhnya sebanyak 2,010 buah dan angka itu dijangka bertambah kerana bancian masih dijalankan di seluruh negeri ini.

"Saya akan minta kerajaan pusat bina (rumah) secepat mungkin kerana kita dapati mangsa yang terlibat sudah dua, tiga minggu menunggu tempat kediaman kekal," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Badan  Perhubungan Umno Kelantan di Kota Baharu, malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis lepas menyatakan Kabinet bersetuju membina rumah kekal berharga RM48,000 setiap rumah khusus untuk mangsa yang kediaman musnah secara keseluruhannya di negeri yang dilanda banjir.

Muhyiddin dilaporkan berkata kerajaan juga bersetuju memberi bantuan atas kadar antara RM5,000 dan RM10,000 bagi setiap rumah yang mengalami kerosakan sebahagian atau tidak sepenuhnya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata bagi mangsa yang sebelum ini mendiami kawasan setinggan, kerajaan negeri akan menyediakan kawasan baharu untuk pembinaan rumah kekal kepada mereka.

Beliau berkata sebelum rumah kekal berkenaan siap, kerajaan pusat menyediakan penempatan sementara berbentuk khemah secara berkelompok dengan dibekalkan pelbagai kemudahan seperti dewan makan, dewan solat, bilik mandi, bekalan elektrik dan air.

Katanya kerajaan juga menyediakan kediaman transit seperti kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan kem tentera, untuk mangsa banjir terbabit.

Dalam masa sama, Mustapa berkata kerajaan juga sedang membantu mangsa yang hilang pendapatan akibat banjir termasuk hasil pertanian musnah dan premis perniagaan ditenggelami air.

- Bernama


ไม่มีความคิดเห็น :

แสดงความคิดเห็น

Designed By Blogger Templates